Thursday, March 25, 2010

PSIKOMOTOR DAN PERGERAKAN
(KAF2023)
JENIS-JENIS PERGERAKAN LOKOMOTOR DAN BUKAN LOKOMOTOR

NAMA AHLI KUMPULAN:
NASIMAH BINTI HAJI ZAINAL ABIDIN (D20082033941)
IDA AZWANI BINTI MOHD YUNUS (D20082033942)
KHAIRANI BINTI MUHAMOD (D20082033947)
JUMIYATI BINTI AMIL (D2008203356)
FAIZAH BINTI MD ZAIN (D20082033965)
AMALINA BINTI MOHAMAD SAIM (D20082033979)

KUMPULAN: B
NAMA PENSYARAH: CIK NORLY BINTI JAMIL
SEMESTER 2, SESI 2009/2010

1.0) Pengenalan

Bidang pengajaran pergerakan manusia yang berfokus kepada perubahan dari segi keupayaan kawalan pergerakan dan prestasi motor yang berlaku sepanjang hayat. Perubahan yang berlaku adalah hasil proses menjadi yang di alami oleh sistem biologi seperti proses perkembangan tumbesaran, kematangan, dan penuaan. Ia dapat dilihat menerusi dua aspek iaitu peningkatan keupayaan dari bayi hingga dewasa dan penurunan keupayaan dari dewasa hingga tua. Aspek keupayaan dari bayi hingga dewasa dikenali sebagai tahap bagi golongan muda di mana mereka mempunyai banyak tenaga dan sentiasa bergiat cergas untuk melakukan pelbagai aktiviti. Aspek kedua ialah penurunan keupayaan dari dewasa hingga tua. Pada tahap ini, peningkatan umur berlaku dan mereka melalui proses penuaan. Ianya memberi kesan kepada perkembangan mereka. Contohnya, untuk perkembangan fizikal, golongan ini tidak lagi bergiat cergas dan mungkin tidak berupaya melakukan sesetengah aktiviti.
Kanak-kanak secara semula jadinya suka melakukan pergerakan. Mereka secara fitrahnya ingin belajar dan mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi. Apabila kanak-kanak melibatkan diri dengan aktiviti fizikal, mereka akan melakukan dengan sepenuh hati dan mereka juga akan bergerak dengan menggunakan seluruh anggota badan mereka. Menurut Wall dan Murray (1994) dalam Zainun Ishak (2006), pergerakan merupakan suatu daya yang wajib dilakukan bagi seseorang individu. Justeru, amatlah penting agar kanak-kanak didedahkan untuk mempelajari pergerakan dan juga bergerak untuk mempelajari sesuatu. Contohnya, kanak-kanak yang belajar berjalan akan menggunakan pergerakan untuk meneroka persekitaran mereka. Sebelum mengajar aktiviti fizikal, terlebih dahulu guru hendaklah mempunyai minat dan menguasai kemahiran tentang sesuatu aktiviti yang mereka ajarkan. Guru juga hendaklah bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu pengajaran dan pembelajaran aktiviti fizikal tersebut kerana kemahiran yang akan dipelajari oleh kanak-kanak akan menjadi asas yang kukuh dalam perkembangan pergerakan mereka.
Pengajaran aktiviti fizikal awal kanak-kanak amat menyeronokan untuk dipelajari oleh kanak-kanak dan guru. Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran berlaku dimana guru dan murid berinteraksi dalam suasana yang riang dan bergembira. Menurut Wall (1981) dalam Zainun Ishak (2006), suatu penemuan tentang apa yang dapat dilakukan oleh tubuh badan dan memperoleh kemahiran adalah pengalaman yang menguntungkan. Selain itu, kemahiran tersebut boleh disesuaikan dengan peralatan yang dijadikan sebagai halangan atau rintangan dan juga daya cipta tarian yang dapat dilakukan secara berpasangan.
Pergerakan asas terdiri daripada tiga jenis iaitu pergerakan lokomotor, bukan lokomotor dan juga pergerakan manipulatif. Ketiga-tiga pergerakan ini melibatkan kemahiran motor kasar. Lantaran itu, guru dan juga ibubapa perlu membantu kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran tersebut secara berkesan. Ini kerana tubuh badan merupakan alat yang penting dalam melakukan pergerakan.

2.0) Motor kasar

Kemahiran motor kasar bermaksud satu kawalan pada tingkahlaku badan yang memerlukan banyak tenaga dari otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya. Perkembangan kemahiran motor kasar banyak bergantung pada perkembangan otak kerana ianya memerlukan keseimbangan badan dan juga kemahiran mata tangan kanak-kanak. Jika kanak-kanak mengalami masalah penglihatan atau pendengaran, mereka akan sukar mengimbangkan badan. Antara contoh kemahiran motor kasar ialah berlari, melompat, berjalan, dan sebagainya. Tetapi, sedari awal bayi, mereka mula menunjukkan kemahiran-kemahiran asas motor kasar seperti mengangkat kepala, memusingkan badan, merangkak, dan lain-lain.

Perkembangan fizikal kanak-kanak pada umur 3 hingga 6 tahun berada pada tahap sederhana di mana ianya dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu keturunan, pemakanan, pendapatan keluarga, dan kumpulan etnik. Contohnya, jika ibu bapa kanak-kanak mengalami obesiti, maka kanak-kanak tersebut juga mengalami keadaan yang sama dan mereka mungkin amat sukar melakukan aktiviti fizikal di sebabkan tubuh badan mereka yang besar. Selain itu juga, ibu bapa perlu menjaga pemakanan seimbang bagi kanak-kanak agar meraka dapat bergiat cergas dalam melakukan aktiviti. Pendapatan keluarga juga turut mempengaruhi dimana ibu bapa yang berpendapatan besar dan prihatin akan perkembangan kanak-kanak mampu menyediakan makanan berkhasiat dan peralatan fizikal bagi kanak-kanak. Akhir sekali, bagi kumpulan etnik, contohnya masyarkat Cina yang gemar melakukan senaman Tai Chi mampu menarik minat anak-anak mereka untuk melakukan aktiviti kecerdasan tersebut.
Gerakan motor kasar kanak-kanak dapat ditingkatkan dengan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk melakukan pelbagai aktiviti. Aktiviti yang dirancang perlu dilakukan dalam kedudukan yang berbeza seperti arah depan, belakang, kiri, dan kanan. Contohnya, kanak-kanak berlari ke depan, belakang, kiri, dan kanan. Guru perlu menjadi lebih kreatif dalm memperbanyakkan variasi dalam pergerakan kanak-kanak. Ini perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak merasa bosan dan ini akan menyeronokkan lagi kanak-kanak untuk melakukan aktiviti. Di dalam gerakan motor kasar, terdapat 2 kemahiran iaitu kemahiran lokomotor dan bukan lokomotor.

3.1) Pergerakan Lokomotor

3.1.1 Definisi

Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang dilakukan oleh kanak-kanak itu akan menyebabkan dia berubah kedudukan atau kekal di tempat tersebut seperti berjalan, berlari, melompat dan sebagainya (Domelly & Gallahue, 2003). Selain itu, pergerakan lokomotor juga memerlukan penyokong atau titik pusat berubah mengikut pergerakan tertentu. Titik pusat bermaksud kedudukan kaki yang tetap sama ada berubah atau bergerak. Contohnya ialah, ketika aktiviti berlari dijalankan, kedudukan kaki kita berubah dan bergerak dari temapt asal keran kita berlari ke arah depan atau belakang. Pendidikan pergerakan lokomotor menyokong perilaku pergerakan yang dirancang. Ini bermaksud, sesuatu pergerakan dilakukan kerana kita mempunyai matlamat tertentu mengapa ianya dilaksanakan. Contohnya, seorang kanak-kanak melakukan aktiviti larian setiap hari kerana kanak-kanak tersebut memasang angan-angan bahawa dia mahu menjadi atlet sukan terkenal pada masa hadapan. Aktiviti berlari juga membolehkan kita melarikan diri dari keadaan berbahaya seperti di kejar anjing, penjahat, dan sebagainya. Selain itu juga, aktiviti berjalan juga mempunyai matlamatnya sendiri dan membolehkan kita pergi ke satu tempat ke satu tempat yang lain.

3.1.2. Konsep pergerakan lokomotor
Pergerakan lokomotor berkaitan dengan gerakan atau aliran. Aliran merupakan beberapa pergerakan dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu dan boleh menambahkan lagi daya tarikan persembahan tersebut. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor yang melibatkan beberapa aspek. Yang pertama adalah aspek arah tinggi, sederhana dan rendah. Contohnya, dalam aktiviti lompatan, kanak-kanak boleh melakukan lompatan yang bermula dari arah rendah, kemudian sederhana, dan seterusnya tinggi. Sebelum kanak-kanak dapat melompat dengan lebih tinggi, mereka perlu melompat dari arah rendah dahulu. Yang kedua aspek aliran seperti awangan, lurus, berliku-liku, dan zig-zag. Antara contoh gerakan yang boleh dilakukan kanak-kanak ialah berjalan lurus lalu melompat ke atas (awangan), kemudian berjalan berliku-liku, dan berjalan mengikut arah zig-zag. Yang ketiga aspek beban seperti halus-ringan dan berat-kuat. Pergerkan halus-ringan bermaksud pergerakan halus yang memerlukan tenaga yang ringan atau sedikit seperti berjalan secara perlahan dan pergerakan berat-kuat bermaksud pergerakan berat seperti berlari, melompat dan sebagainya yang memerlukan tenaga yang lebih dan kuat. Aspek yang terakhir adalah masa seperti cepat dan lambat. Masa bergantung kepada jenis aktiviti yang dilakukan. Jika kanak-kanak berlari, maka masa menjadi lebih cepat manakala jika kanak-kanak berjalan perlahan, maka masa yang diambil menjadi lambat.

3.1.3 Contoh-contoh pergerakan lokomotor
Terdapat pelbagai contoh yang melibatakan pergerakan lokomotor antaranya ialah:

1. Berjalan
Berjalan ialah kemahiran yang paling asas di mana kita banyak melakukannya dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai kanak-kanak mempunyai tabiat berjalan yang salah. Hal ini biasanya memenatkan beberapa bahagian anggota badan yang lain. Selain kaki ianya juga menyebabkan penggunaan tenaga berlebihan yang sepatutnyan boleh dikurangkan. Kedudukan imbangan yang betul semasa berjalan dan mekanisme yang sesuai boleh membuat seseorang itu berjalan dengan gaya yang betul. Gaya berjalan yang biasa merupakan pergerakan merentasi ruang dengan memindah-mindahkan berat badan dari satu kaki ke kaki yang lain. Kanak-kanak biasanya mula berjalan sejak berusia 11 bulan. Aktiviti berjalan ini bermula sejak kanak-kanak sudah pandai berdiri bersendirian tanpa bantuan. Pada tahap ini kanak-kanak perlu dibimbing oleh orang dewasa supaya kanak-kanak dapat menguasai aktiviti ini. Selepas itu kanak-kanak boleh berjalan dengan betul bermula umur 1 tahun.
Antara teknik berjalan yang betul ialah hujung kaki hendaklah menghala lurus ke hadapan dengan sisi bahagian dalam kedua-dua belah kaki seolah-olah mengikut satu garis lurus. Tangan menghayun bebas berselang-seli mengikut arah yang bertentangan dengan arah kaki melangkah. Mengikut perlakuan seumpama ini dapat memberi imbangan badan dan dapat pula membawa bahagian badan bergerak ke hadapan. Pada ketikanya apabila kedua-dua tapak kaki menyentuh tanah, dan pada masa inilah satu tapak berpijak pada yang baru terhasil dan boleh menahan anggota badan daripada rebah. Kedua-dua badan hendaklah sentiasa tegak dan dalam keadaan yang selesa. Selepas itu, kanak-kanak akan berjalan dengan ibu jari kaki menghala bengkok ke arah luar dan dalam. Kaki terbuka lebar semasa berjalan. Tapak kaki terlalu rapat semasa berjalan menghayun berlebih-lebihan. Kepala condong ke hadapan.

2. Berlari
Selepas tahap berjalan ia adalah lumrah bagi kanak-kanak untuk bergerak secara laju dan mereka sukakan aktiviti berlari. Kanak-kanak mempunyai tenaga yang banyak dan mereka meyalurkan tenaga tersebut dengan berlari dan melakukan aktiviti yang lasak. Pada usia 3 hingga 5 tahun, kanak-kanak sudah boleh berlari dengan lancar dan laju tanpa jatuh kerana otot-otot sudah berkembang dengan baik. Pada usia 5 hingga 6 tahun, kanak-kanak sudah boleh berlari sambil menendang bola. Selain itu, pada tahap ini kanak-kanak gemar berlumba lari dengan kanak-kanak yang lain. Ketika berlari, pergerakan buku lali dan lutut menjadi lebih kerap supaya lebih banyak pergerakan meninggi dapat dicapai ketika berlari. Haruslah diingatkan bahawa ketika berlari, kanak-kanak perlu menggunakan hujung jari kaki dan jangan menggunakan telapak kaki penuh. Semasa berlari lutut diangkat ke hadapan dan kemudian kaki dihulur untuk mencecah tempat berpijak. Kaki belakang dibengkokkan serta terangkat dari tanah setelah mengambil kekuatan atau lanjutan untuk bergerak maju. Panjangkan langkah kaki, percepatkan langkah, dan yang paling penting kanak-kanak perlu diajar untuk mengawal pernafasan dengan baik.

3. Melompat
Lompatan selalunya digunakan dalam pelbagai bidang sukan, rekreasi, dan kehidupan seharian. Lompatan bermula sejak dari kanak-kanak lagi dan melibatkan anggota badan untuk menyokong pergerakan ini. Justeru itu, lompatan ialah pergerakan yang mengangkat badan ke udara daripada tempat berpijak dengan tolakan atau lonjakan sebelah atau kedua-dua belah kaki. Badan berada di udara buat seketika, kemudian turun semula di atas sebelah atau kedua-dua kaki. Tujuan lompatan mungkin untuk menguasai jarak hadapan atau ketinggian lompatan. Selain itu, lompatan juga melibatkan ruang dan jarak yang luas apabila dapat melakukan lompatan dengan selesa. Pada umur 3 tahun lompatan kanak-kanak sudah mula menjadi sempurna. Selalunya kanak-kanak melompat dengan bantuan papan spring. Ini boleh dijadikan peneguhan positif bagi kanak-kanak untuk terus melompat. Kanak-kanak juga boleh diajar melakukan pelbagai lompatan haiwan seperti lompat seperti katak, kangaroo, arnab, dan sebagainya. Ini juga akan menyeronokkan kanak-kanak disamping dapat mempelajari cara lompatan bagi haiwan-haiwan tersebut.

4. Skip
Skip adalah gabungan berjalan dan melompat dengan satu kaki. Ianya biasa dilakukan di taman-taman permainan dan aktiviti ini mula dikuasai pada usia pra-sekolah. Antara langkah-langkah skip ialah langkah dengan sebelah kaki, kemudian ketingting dengan kaki yang sama, dan tukar ulang pergerakan dengan kaki yang sebelah lagi. Pergerakan ini boleh dilakukan dengan arah yang bebas, tetapi polanya hendaklah serupa, iaitu bertukar-tukar kaki sambil mengimbangkan berat badan pada setiap pertukaran langkah.

5. Galop (berlari seperti kuda)
Galop merupakan satu pergerakan lokomotor yang agak sukar bagi kanak-kanak kerana ianya merupakan satu pergerakan berlari yang disertai dengan melompat dari satu tempat ke tempat yang lain. Akan tetapi, aktiviti ini boleh dikuasai oleh kanak-kanak pada usia pra-sekolah. Galop ini menyerupai cara berlari seperti seekor kuda. Selain itu, ianya merupakan antara variasi pergerakan berlari dan ianya adalah satu cara yang paling kreatif untuk aktiviti fizikal. Antara langkah-langkah untuk melakukan aktiviti ini adalah satu kaki bergerak kehadapan dan kaki tersebut mengimbangi badan. Kaki belakang pula digerakkan kehadapan dan ke belakang dan seterusnya tumit kaki bergerak ke hadapan. Dengan pergerakan yang pantas, kedua-dua kaki diangkat kehadapan dan berat badan diletakkan pada kaki belakang. Menolak dan mendarat bebola kaki ke belakang dan ke hadapan. Lutut dan pergelangan kaki sentiasa dibengkokkan semasa pergerakan dilakukan.

6) Hop (melompat dengan sebelah kaki)
Hop merupakan satu lompatan kehadapan yang menggunakan sebelah kaki sahaja dan mendarat dengan kaki yang sama. Ini dapat dilihat menerusi permainan kanak-kanak yang paling popular iaitu teng-teng. Menurut Gabbard (1992), hop merangkumi urutan yang tersendiri. Sebelum kanak-kanak mahir melakukan hop, mereka perlu dapat mengimbangi sebelah kaki sahaja apabila berdiri. Ini bermakna, kanak-kanak perlu berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja. Apabila kanak-kanak berjaya mengimbangkan badan mereka, mereka dapat melakukan hop tanpa bantuan. Antara cara-cara pergerakan hop ialah mata melihat ke hadapan, berdiri dengan betul dan kedua-dua belah tangan untuk mengimbangi badan. Angkat sebelah kaki dan lutut kaki tersebut dibengkokkan kebelakang. Selepas itu, lompat dengan kaki tersebut dan bergerak ke hadapan. Antara bentuk-bentuk pergerakan hop yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak ialah bentuk lurus, melengkung, dan zigzag. Dengan itu kanak-kanak akan berasa seronok melakukannya. Contoh permainan popular di kalangan kanak-kanak yang menggunakan hop ialah permainan ‘ting-ting’.

7) Slide (berjalan di arah tepi)
Slide ialah merupakan satu teknik melangkah kehadapan tetapi ianya menggunakan arah tepi. Ianya dapat melatih kanak-kanak mengetahui konsep kiri dan kanan. Selain berjalan lurus dengan badan ditegakkan kehadapan, kanak-kanak boleh berjalan dengan arah tepi. Badan dibengkokkan samada mengikut bahu kanan atau kiri dan seterusnya berjalan kehadapan. Ia juga dapat melatih keseimbangan badan dan mengembangkan koordinasi mata dan kaki. Ibu bapa boleh menggalakan kanak-kanak ini melakukan pergerakan slide tidak kira di mana jua keadaan. Justeru itu, kanak-kanak dapat memperkembangkan motor kasar mereka.

8) Leap (berlari sambil melonjak)
Leap merupakan pergerakan yang hampir serupa dengan berlari. Cuma ketika berlari, pergerakan buku lali dan lutut menjadi lebih kerap supaya lebih banyak pergerakan meninggi dapat dicapai. Sebelum melakukan leap, kanak-kanak perlu mahir berlari dahulu kerana ianya amat sukar untuk dilakukan. Semasa berlari, lutut diangkat kehadapan dan kemudian kaki dihulur untuk memecah tempat berpijak. Kaki belakang bengkok serta terangkat dari tanah setelah mengambil kekuatan atau lanjutan untuk bergerak maju. Lonjakan adalah daripada satu kaki dan pendaratan adalah di atas satu kaki yang sama. Kebiasaannya lonjakan didahului dengan satu atau beberapa langkah larian supaya mendapat lonjakan yang sempurna.

3.2) Pergerakan bukan lokomotor

3.2.1 Definisi

Pergerakan bukan lokomotor adalah keupayaan untuk mengerakakan tubuh badan tanpa beralih tempat. Kemahiran yang dilakukan tanpa menggerakkan dasar sokongan atau tidak melibatkan perubahan penyokong atau titik pusat pelaku. Ini bermaksud kanak-kanak berada dalam kedudukan yang sama dan tidak berubah ke tempat lain contohnya aktiviti regangan badan, membaling bola ke arah rakan dan sebagainya. Pergerakan bukan lokomotor adalah penting dalam pendidikan jasmani seperti permainan, seni tari dan gimnastik. Sebagai contoh dalam sukan gimnastik kanak-kanak terlebih dahulu akan melakukan regangan otot sebelum beraksi.

3.2.2 Konsep pergerakan
Pergerakan dalam keadaan statik dan memberi penekanan kepada keseimbangan membantu kita menjaga dan menjadikan bentuk badan yang menarik dan badan seharusnya berada dalam keadaan yang fleksibel dan seimbang. Gerakan dibuat dalam keadaan yang tenang dan kurang tekanan. Ini kerana dalam konsep pergerakan bukan lokomotor, tenaga tidak diperlukan dengan banyak dan lebih kepada pergerakan halus-ringan.

3.2.3 Contoh-contoh pergerakan bukan lokomotor

1. Twist
Gerakkan pinggang ke kiri dan ke kanan dan berdiri secara statik. Guru perlu menjadi lebih kreatif untuk menarik minat kanak-kanak untuk melakukan twist dengan memainkan muzik yang rancak. Ini akan membuatkan kanak-kanak menjadi lebih seronok. Selain itu, kanak-kanak juga boleh melakukan twist dengan menggunakan gelung rotan. Cara-cara ialah gelung rotan dimasukan dan diletakkan pada aras pinggang dan kanak-kanak mula melakukan twist dengan gelung rotan. Aktiviti ini boleh dilakukan mengikut arah dan lawan jam. Fungsi gelung rotan itu adalah untuk menahan ketahanan badan untuk mengawal keseimbangan gelung rotan daripada terjatuh. Guru juga boleh mengadakan satu pertandingan melakukan twist dikalangan kanak-kanak. Faedah dari aktiviti ini adalah kanak-kanak dapat menguatkan otot-otot pinggang.

2. Imbangan Y
Ini pula merupakan satu aktiviti gerakan bukan lokomotor yang kreatif. Kanak-kanak berdiri statik sambil kedua belah tangan diangkat ke atas dan membuat huruf Y. Selain itu, ia juga dapat mengajar kanak-kanak tentang huruf Y.

3. Menarik tangan pasangan
Aktiviti fizikal juga boleh dilakukan secara berpasangan. Guru perlu membiarkan kanak-kanak bersosial dengan rakan-rakan yang lain. Ini akan menambahkan lagi keseronokan kanak-kanak kerana kanak-kanak secara amnya mereka suka melakukan aktiviti bersama rakan-rakan. Dalam aktiviti ini kanak-kanak perlu berkerjasama dengan pasangan masing-masing. Kanak-kanak perlu memegang tangan pasangan dan mula menarik tangan pasangan secara serentak sambil berdiri statik. Selain itu kanak-kanak dapat belajar cara untuk berkerjasama dan bertolak-ansur dengan pasangan.

4. Meregang dan mengendur
Aktiviti regangan selalunya dilakukan selepas kita bangun dari tidur dan mengendur pula dilakukan ketika kita berada dalam keadaan sejuk. Ada dikalangan kanak-kanak yang tidak tahu melakukan kedua-dua aktiviti ini. Guru dan ibu bapa perlu mengajar kanak-kanak tentang pergerakan ini. Antara cara-caranya ialah kanak-kanak perlu berdiri statik pada peringkat permulaan. Selepas itu, secara perlahan-lahan badan diturunkan ke bawah lalu menjadi mengecil atau merapatkan badan dalam keadaan mencangkung atau badan kanak-kanak menjadi k, kemudian meregang seperti melompat bintang.

5. Imbangan satu tapak
Terdapat dua aktiviti yang boleh dilakukan, pertama ialah kanak-kanak dapat melakukan aktiviti dengan berdiri tegak sambil bola diangkat ke atas kepala dengan berdiri setempat. Kedua, tangan kanan kanak-kanak memegang bola dan tangan kiri mencapai kaki kiri kemudian mebuat imbangan satu tapak sokongan dilakukan.

6. Memutar gelung di tangan
Kanak-kanak pada unur pra sekolah iaitu 4-6 tahun, mereka gemar menggerak dan memusingkan kedua belah tangan mereka. Ini kerana bagi mereka ianya membuatkan mereka terbang di awangan atau berenang sambil kedua belah tangan bergerak. Guru perlu menjadi kreatif dengan memberikan gelung sebagai contoh untuk kanak-kanak denagn meletakkannya di tangan mereka. Kanak-kanak dapat melakukan aktiviti ini dengan memutarkan gelung dengan menggunakan sebelah tangan dalam keadaan berdiri statik. Selepas itu, letakkan gelung itu di tangan yang satu lagi. Kanak-kanak juga boleh menggunakan 2 buah gelung dan diletakkan di kedua-dua belah tangan mereka sambil kaki berdiri statik. Aktiviti ini dapat menguatkan otot-otot tangan.

7. Melambung bola
Sesungguhnya kanak-kanak tidak dapat dipisahkan dari bermain bola. Guru perlu kreatif dalam mencari alatan-alatan yang boleh membantu perkembangan fizikal kanak-kanak seperti menggunakan bola. Guru dapat melakukan aktiviti ini dalam dua cara. Pertama, melambung bola sesuka hati sama ada pada arah belakang, depan,kiri atau kanan dalam keadaan berdiri statik. Kedua, melempar bola ke arah pasangan secara bergilir-gilir. Dengan melakukannya sejak dari awal, ianya tidak mustahil bagi kanak-kanak untuk menjadi pemain bola jaring, bola tampar, bola baling, dan sebagainya apabila mereka membesar kelak. Selain itu, kanak-kanak dapat memperkembangkan koordinasi mata tangan.

8. Membongkok
Selain berdiri lurus, guru boleh mengajar kanak-kanak tentang cara berdir secara bongkok. Ini boleh menyeronokkan kanak-kanak kerana mereka gemar mencuba sesuatu yang baru dan suka bereksperimen. Kanak-kanak melakukan aktiviti dengan membongkokkan badan ke bawah menjadi 90 darjah dan secara perlahan-lahan menegakkan badan. Aktiviti ini juga boleh diaplikasikan dalam lakonan permainan nenek-nenek si bongkok tiga. Selain itu, kanak-kanak dapat meningkatkan daya ketahanan badan mereka dengan melakukan aksi bongkok.

9. Memusing kepala
Selain menggunakan tangan dan kaki untuk membuat pergerakan, kanak-kanak perlu diajar untuk menggunakan anggota badan yang lain seperti kepala dan lain-lain. Ini adalah kerana kanak-kanak akan menjadi cepat bosan jika guru sudah mati akal dengan asyik melakukan pergerakan yang sama sahaja. Antara cara-cara melakukan aktiviti ini ialah kanak-kanak berdiri statik dan memusingkan kepala mengikut arah jam dan memusingkan semula mengikut arah lawan jam. Daripada aktiviti ini, kanak-kanak dapat menguatkan otot leher dan belajar konsep arah jam. Selain itu, kanak-kanak boleh meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang konsep kiri, kanan, atas, dan bawah ketika memusingkan kepala mereka mengikut konsep tersebut.

10. Mendekam
Guru dapat mengaplikasikan aktiviti mendekam kepada kanak-kanak. Dekam adalah dengan mengunakan satu kaki lurus ke hadapan dan lompatan dilakukan dalam keadaan setempat. Dekam dilakukan dengan tangan menyentuh lantai.

4.0) Kepentingan aktiviti fizikal.

Aktiviti fizikal adalah suatu aspek yang unik malah amat penting dalam pendidikan jasmani untuk kanak-kanak. Aktiviti fizikal mempunyai banyak faedahnya jika kanak-kanak diberi peluang untuk mencuba melakukan pelbagai pergerakan. Guru-guru dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal ini kerana ianya menguntungkan kanak-kanak dari pelbagai sudut. Antaranya ialah sesuatu pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat dan meningkatkan daya kecerdasan. Contohnya, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat megeluarkan peluh dari badan. Fungsi peluh ialah menyihatkan tubuh badan dan menyingkirkan toksin. Tambahan pula, kanak-kanak dapat meningkatkan stamina mereka. Yang kedua ialah kanak-kanak dapat meningkatkan lagi keupayaan pergerakannya dan menguasai kemahiran fizikal. Sebagai contoh, melakukan aktiviti leap iaitu berlari sambil melonjak tinggi menuntut kesabaran yang tinggi di kalangan kanak-kanak. Bagi mereka, aktiviti ini adalah agak sukar, namun jika diberi latihan yang secukupnya, nescaya kanak-kanak akan berjaya melakukan aksi leap. Yang ketiga ialah kanak-kanak akan memperkembangkan perkembangan emosi mereka kerana mereka akan merasa seronok apabila mereka dapat menguasai beberapa kemahiran tertentu. Contohnya ialah, kanak-kanak seringkali melompat kegembiraan apabila mereka menang tempat pertama dalam pertandingan lumba lari. Selain itu, kanak-kanak akan menjadi lebih seronok jika terdapat muzik dimainkan semasa melakukan aktiviti fizikal seperti pergerakan bukan lokomotor iaitu twist. Tambahan pula, kanak-kanak akan berasa puas jika mereka melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dengan betul dan estetik (Zainun Ishak, 2006).
Di samping itu, melakukan aktiviti fizikal dapat memupuk semangat setiakawan dan kanak-kanak dapat bersaing dengan sihat. Contohnya, situasi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak bermain ting-ting (aksi hop) bersama-sama dan saling memberi sokongan antara satu sama lain. Di sini, sifat toleransi bersama rakan-rakan mula menyerlah dan juga sifat kepimpinan kerana mereka sudah dilantik oleh rakan-rakan mereka untuk menjadi ketua. Selain itu juga, mereka dapat bertanding secara sihat dan tidak kisah samada menang dan kalah. Seterusnya ialah, kanak-kanak dapat meningkatkan lagi perkembangan sosial mereka dengan berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru ketika melakukan aktiviti fizikal. Contohnya, kanak-kanak mengikuti arahan yang diberikan oleh guru dan seterusnya membantu rakan-rakan lain dalam melakukan aktiviti berlari, melompat dan lain-lain secara bersama-sama. Di samping itu juga, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat menamkan sifat keberanian dalam diri masing-masing. Ini adalah kerana, kanak-kanak berani bersoal jawab dengan guru jika terdapat apa-apa kemusykilan dalam melakukan aktiviti. Pada tahap ini, sifat ingin tahu dalam jiwa kanak-kanak mula menebal dan mereka akan berusaha mencuba pelbagai aktiviti lokomotor seperti berlari dengan membawa bola ping-pong dalam sudu, dan aktiviti bukan lokomotor seperti melambung bola dan sebagainya.

Rumusan

Kesimpulannya, pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor adalah sangat penting dimana ianya mempengaruhi pelbagai perkembangan dalam kehidupan kanak-kanak secara langsung dan juga tidak langsung. Aktiviti pergerakan adalah sesuatu yang unik dan penting dalam perkembangan fizikal kerana sesuatu pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan kanak-kanak menjadi sihat. Sesuatu kemahiran pergerakan akan diperolehi melalui pengalaman dalam permainan ataupun aktiviti yang dijalankan di sekolah mahupun di rumah. Selain itu, aktiviti pergerakan juga dapat membantu dari segi aspek sosial dimana mereka akan mengalami kepuasan dalam mempelajari sesuatu pergerakan. Jika kanak-kanak aktif bermain dan bergerak secara tidak langsung dapat memupuk sifat keyakinan diri, kepimpinan dan toleransi dalam diri mereka. Dari aspek emosi pula, melalui pembelajaran pergerakan yang mencabar dan seronok akan menjadikan kanak-kanak riang dan aktif, sekaligus dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak melalui strategi pergerakkan yang pelbagai. Oleh itu, semua pihak iaitu ibubapa, guru dan juga masyarakat perlu memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak untuk menyertai dalam aktiviti pergerakan yang aktif, pantas dan mencabar sesuai dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka meneroka sesuatu yang baru.

bibliografi

Arlina Rohaizey (2007), Young Muslim Practical Life Exercise. Batu Caves: International Islamic Malaysia Sdn Bhd.

Bailey, Richard & Doherty, Jonathan (2002), Supporting Physical Development and Physical Education in The Early Years. Buckingham: Open University Press.

Calvin, A. Vonmie, Markos, Nancy J. Egner, & Walker, Pamela J. (2000), Teaching The Nuts and Bolts of Physical Education. Kentucky: Human Kinetics.

Domelly, Frances C. & Gallahue, David L. (2003), Developmental Physical Education for All Children. Indiana: Brown & Benchmark.

Zainun Ishak (2006), Panduan Kesihatan dan Keselamatn Kanak-Kanak. Selangor: Lohprint sdn Bhd.

Diperoleh pada 22 Januari 2010 daripada laman web http://www.scribd.com/doc/12394711/Konsep-Pergerakan-Asas

Diperoleh pada 22 Januari 2010 daripada laman web file:///C:/Users/user/Documents/Pergerakan-Lokomoto.htm