Thursday, March 25, 2010

3.1) Pergerakan Lokomotor

3.1.1 Definisi

Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang dilakukan oleh kanak-kanak itu akan menyebabkan dia berubah kedudukan atau kekal di tempat tersebut seperti berjalan, berlari, melompat dan sebagainya (Domelly & Gallahue, 2003). Selain itu, pergerakan lokomotor juga memerlukan penyokong atau titik pusat berubah mengikut pergerakan tertentu. Titik pusat bermaksud kedudukan kaki yang tetap sama ada berubah atau bergerak. Contohnya ialah, ketika aktiviti berlari dijalankan, kedudukan kaki kita berubah dan bergerak dari temapt asal keran kita berlari ke arah depan atau belakang. Pendidikan pergerakan lokomotor menyokong perilaku pergerakan yang dirancang. Ini bermaksud, sesuatu pergerakan dilakukan kerana kita mempunyai matlamat tertentu mengapa ianya dilaksanakan. Contohnya, seorang kanak-kanak melakukan aktiviti larian setiap hari kerana kanak-kanak tersebut memasang angan-angan bahawa dia mahu menjadi atlet sukan terkenal pada masa hadapan. Aktiviti berlari juga membolehkan kita melarikan diri dari keadaan berbahaya seperti di kejar anjing, penjahat, dan sebagainya. Selain itu juga, aktiviti berjalan juga mempunyai matlamatnya sendiri dan membolehkan kita pergi ke satu tempat ke satu tempat yang lain.

3.1.2. Konsep pergerakan lokomotor
Pergerakan lokomotor berkaitan dengan gerakan atau aliran. Aliran merupakan beberapa pergerakan dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu dan boleh menambahkan lagi daya tarikan persembahan tersebut. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor yang melibatkan beberapa aspek. Yang pertama adalah aspek arah tinggi, sederhana dan rendah. Contohnya, dalam aktiviti lompatan, kanak-kanak boleh melakukan lompatan yang bermula dari arah rendah, kemudian sederhana, dan seterusnya tinggi. Sebelum kanak-kanak dapat melompat dengan lebih tinggi, mereka perlu melompat dari arah rendah dahulu. Yang kedua aspek aliran seperti awangan, lurus, berliku-liku, dan zig-zag. Antara contoh gerakan yang boleh dilakukan kanak-kanak ialah berjalan lurus lalu melompat ke atas (awangan), kemudian berjalan berliku-liku, dan berjalan mengikut arah zig-zag. Yang ketiga aspek beban seperti halus-ringan dan berat-kuat. Pergerkan halus-ringan bermaksud pergerakan halus yang memerlukan tenaga yang ringan atau sedikit seperti berjalan secara perlahan dan pergerakan berat-kuat bermaksud pergerakan berat seperti berlari, melompat dan sebagainya yang memerlukan tenaga yang lebih dan kuat. Aspek yang terakhir adalah masa seperti cepat dan lambat. Masa bergantung kepada jenis aktiviti yang dilakukan. Jika kanak-kanak berlari, maka masa menjadi lebih cepat manakala jika kanak-kanak berjalan perlahan, maka masa yang diambil menjadi lambat.

3.1.3 Contoh-contoh pergerakan lokomotor
Terdapat pelbagai contoh yang melibatakan pergerakan lokomotor antaranya ialah:

1. Berjalan
Berjalan ialah kemahiran yang paling asas di mana kita banyak melakukannya dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai kanak-kanak mempunyai tabiat berjalan yang salah. Hal ini biasanya memenatkan beberapa bahagian anggota badan yang lain. Selain kaki ianya juga menyebabkan penggunaan tenaga berlebihan yang sepatutnyan boleh dikurangkan. Kedudukan imbangan yang betul semasa berjalan dan mekanisme yang sesuai boleh membuat seseorang itu berjalan dengan gaya yang betul. Gaya berjalan yang biasa merupakan pergerakan merentasi ruang dengan memindah-mindahkan berat badan dari satu kaki ke kaki yang lain. Kanak-kanak biasanya mula berjalan sejak berusia 11 bulan. Aktiviti berjalan ini bermula sejak kanak-kanak sudah pandai berdiri bersendirian tanpa bantuan. Pada tahap ini kanak-kanak perlu dibimbing oleh orang dewasa supaya kanak-kanak dapat menguasai aktiviti ini. Selepas itu kanak-kanak boleh berjalan dengan betul bermula umur 1 tahun.
Antara teknik berjalan yang betul ialah hujung kaki hendaklah menghala lurus ke hadapan dengan sisi bahagian dalam kedua-dua belah kaki seolah-olah mengikut satu garis lurus. Tangan menghayun bebas berselang-seli mengikut arah yang bertentangan dengan arah kaki melangkah. Mengikut perlakuan seumpama ini dapat memberi imbangan badan dan dapat pula membawa bahagian badan bergerak ke hadapan. Pada ketikanya apabila kedua-dua tapak kaki menyentuh tanah, dan pada masa inilah satu tapak berpijak pada yang baru terhasil dan boleh menahan anggota badan daripada rebah. Kedua-dua badan hendaklah sentiasa tegak dan dalam keadaan yang selesa. Selepas itu, kanak-kanak akan berjalan dengan ibu jari kaki menghala bengkok ke arah luar dan dalam. Kaki terbuka lebar semasa berjalan. Tapak kaki terlalu rapat semasa berjalan menghayun berlebih-lebihan. Kepala condong ke hadapan.

2. Berlari
Selepas tahap berjalan ia adalah lumrah bagi kanak-kanak untuk bergerak secara laju dan mereka sukakan aktiviti berlari. Kanak-kanak mempunyai tenaga yang banyak dan mereka meyalurkan tenaga tersebut dengan berlari dan melakukan aktiviti yang lasak. Pada usia 3 hingga 5 tahun, kanak-kanak sudah boleh berlari dengan lancar dan laju tanpa jatuh kerana otot-otot sudah berkembang dengan baik. Pada usia 5 hingga 6 tahun, kanak-kanak sudah boleh berlari sambil menendang bola. Selain itu, pada tahap ini kanak-kanak gemar berlumba lari dengan kanak-kanak yang lain. Ketika berlari, pergerakan buku lali dan lutut menjadi lebih kerap supaya lebih banyak pergerakan meninggi dapat dicapai ketika berlari. Haruslah diingatkan bahawa ketika berlari, kanak-kanak perlu menggunakan hujung jari kaki dan jangan menggunakan telapak kaki penuh. Semasa berlari lutut diangkat ke hadapan dan kemudian kaki dihulur untuk mencecah tempat berpijak. Kaki belakang dibengkokkan serta terangkat dari tanah setelah mengambil kekuatan atau lanjutan untuk bergerak maju. Panjangkan langkah kaki, percepatkan langkah, dan yang paling penting kanak-kanak perlu diajar untuk mengawal pernafasan dengan baik.

3. Melompat
Lompatan selalunya digunakan dalam pelbagai bidang sukan, rekreasi, dan kehidupan seharian. Lompatan bermula sejak dari kanak-kanak lagi dan melibatkan anggota badan untuk menyokong pergerakan ini. Justeru itu, lompatan ialah pergerakan yang mengangkat badan ke udara daripada tempat berpijak dengan tolakan atau lonjakan sebelah atau kedua-dua belah kaki. Badan berada di udara buat seketika, kemudian turun semula di atas sebelah atau kedua-dua kaki. Tujuan lompatan mungkin untuk menguasai jarak hadapan atau ketinggian lompatan. Selain itu, lompatan juga melibatkan ruang dan jarak yang luas apabila dapat melakukan lompatan dengan selesa. Pada umur 3 tahun lompatan kanak-kanak sudah mula menjadi sempurna. Selalunya kanak-kanak melompat dengan bantuan papan spring. Ini boleh dijadikan peneguhan positif bagi kanak-kanak untuk terus melompat. Kanak-kanak juga boleh diajar melakukan pelbagai lompatan haiwan seperti lompat seperti katak, kangaroo, arnab, dan sebagainya. Ini juga akan menyeronokkan kanak-kanak disamping dapat mempelajari cara lompatan bagi haiwan-haiwan tersebut.

4. Skip
Skip adalah gabungan berjalan dan melompat dengan satu kaki. Ianya biasa dilakukan di taman-taman permainan dan aktiviti ini mula dikuasai pada usia pra-sekolah. Antara langkah-langkah skip ialah langkah dengan sebelah kaki, kemudian ketingting dengan kaki yang sama, dan tukar ulang pergerakan dengan kaki yang sebelah lagi. Pergerakan ini boleh dilakukan dengan arah yang bebas, tetapi polanya hendaklah serupa, iaitu bertukar-tukar kaki sambil mengimbangkan berat badan pada setiap pertukaran langkah.

5. Galop (berlari seperti kuda)
Galop merupakan satu pergerakan lokomotor yang agak sukar bagi kanak-kanak kerana ianya merupakan satu pergerakan berlari yang disertai dengan melompat dari satu tempat ke tempat yang lain. Akan tetapi, aktiviti ini boleh dikuasai oleh kanak-kanak pada usia pra-sekolah. Galop ini menyerupai cara berlari seperti seekor kuda. Selain itu, ianya merupakan antara variasi pergerakan berlari dan ianya adalah satu cara yang paling kreatif untuk aktiviti fizikal. Antara langkah-langkah untuk melakukan aktiviti ini adalah satu kaki bergerak kehadapan dan kaki tersebut mengimbangi badan. Kaki belakang pula digerakkan kehadapan dan ke belakang dan seterusnya tumit kaki bergerak ke hadapan. Dengan pergerakan yang pantas, kedua-dua kaki diangkat kehadapan dan berat badan diletakkan pada kaki belakang. Menolak dan mendarat bebola kaki ke belakang dan ke hadapan. Lutut dan pergelangan kaki sentiasa dibengkokkan semasa pergerakan dilakukan.

6) Hop (melompat dengan sebelah kaki)
Hop merupakan satu lompatan kehadapan yang menggunakan sebelah kaki sahaja dan mendarat dengan kaki yang sama. Ini dapat dilihat menerusi permainan kanak-kanak yang paling popular iaitu teng-teng. Menurut Gabbard (1992), hop merangkumi urutan yang tersendiri. Sebelum kanak-kanak mahir melakukan hop, mereka perlu dapat mengimbangi sebelah kaki sahaja apabila berdiri. Ini bermakna, kanak-kanak perlu berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja. Apabila kanak-kanak berjaya mengimbangkan badan mereka, mereka dapat melakukan hop tanpa bantuan. Antara cara-cara pergerakan hop ialah mata melihat ke hadapan, berdiri dengan betul dan kedua-dua belah tangan untuk mengimbangi badan. Angkat sebelah kaki dan lutut kaki tersebut dibengkokkan kebelakang. Selepas itu, lompat dengan kaki tersebut dan bergerak ke hadapan. Antara bentuk-bentuk pergerakan hop yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak ialah bentuk lurus, melengkung, dan zigzag. Dengan itu kanak-kanak akan berasa seronok melakukannya. Contoh permainan popular di kalangan kanak-kanak yang menggunakan hop ialah permainan ‘ting-ting’.

7) Slide (berjalan di arah tepi)
Slide ialah merupakan satu teknik melangkah kehadapan tetapi ianya menggunakan arah tepi. Ianya dapat melatih kanak-kanak mengetahui konsep kiri dan kanan. Selain berjalan lurus dengan badan ditegakkan kehadapan, kanak-kanak boleh berjalan dengan arah tepi. Badan dibengkokkan samada mengikut bahu kanan atau kiri dan seterusnya berjalan kehadapan. Ia juga dapat melatih keseimbangan badan dan mengembangkan koordinasi mata dan kaki. Ibu bapa boleh menggalakan kanak-kanak ini melakukan pergerakan slide tidak kira di mana jua keadaan. Justeru itu, kanak-kanak dapat memperkembangkan motor kasar mereka.

8) Leap (berlari sambil melonjak)
Leap merupakan pergerakan yang hampir serupa dengan berlari. Cuma ketika berlari, pergerakan buku lali dan lutut menjadi lebih kerap supaya lebih banyak pergerakan meninggi dapat dicapai. Sebelum melakukan leap, kanak-kanak perlu mahir berlari dahulu kerana ianya amat sukar untuk dilakukan. Semasa berlari, lutut diangkat kehadapan dan kemudian kaki dihulur untuk memecah tempat berpijak. Kaki belakang bengkok serta terangkat dari tanah setelah mengambil kekuatan atau lanjutan untuk bergerak maju. Lonjakan adalah daripada satu kaki dan pendaratan adalah di atas satu kaki yang sama. Kebiasaannya lonjakan didahului dengan satu atau beberapa langkah larian supaya mendapat lonjakan yang sempurna.

2 comments:

Unknown said...

TERIMA KASIH DARIPADA SK SUBANG BESTARI 2

Indog said...

Ututu

Post a Comment