Thursday, March 25, 2010

4.0) Kepentingan aktiviti fizikal.

Aktiviti fizikal adalah suatu aspek yang unik malah amat penting dalam pendidikan jasmani untuk kanak-kanak. Aktiviti fizikal mempunyai banyak faedahnya jika kanak-kanak diberi peluang untuk mencuba melakukan pelbagai pergerakan. Guru-guru dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal ini kerana ianya menguntungkan kanak-kanak dari pelbagai sudut. Antaranya ialah sesuatu pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat dan meningkatkan daya kecerdasan. Contohnya, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat megeluarkan peluh dari badan. Fungsi peluh ialah menyihatkan tubuh badan dan menyingkirkan toksin. Tambahan pula, kanak-kanak dapat meningkatkan stamina mereka. Yang kedua ialah kanak-kanak dapat meningkatkan lagi keupayaan pergerakannya dan menguasai kemahiran fizikal. Sebagai contoh, melakukan aktiviti leap iaitu berlari sambil melonjak tinggi menuntut kesabaran yang tinggi di kalangan kanak-kanak. Bagi mereka, aktiviti ini adalah agak sukar, namun jika diberi latihan yang secukupnya, nescaya kanak-kanak akan berjaya melakukan aksi leap. Yang ketiga ialah kanak-kanak akan memperkembangkan perkembangan emosi mereka kerana mereka akan merasa seronok apabila mereka dapat menguasai beberapa kemahiran tertentu. Contohnya ialah, kanak-kanak seringkali melompat kegembiraan apabila mereka menang tempat pertama dalam pertandingan lumba lari. Selain itu, kanak-kanak akan menjadi lebih seronok jika terdapat muzik dimainkan semasa melakukan aktiviti fizikal seperti pergerakan bukan lokomotor iaitu twist. Tambahan pula, kanak-kanak akan berasa puas jika mereka melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dengan betul dan estetik (Zainun Ishak, 2006).
Di samping itu, melakukan aktiviti fizikal dapat memupuk semangat setiakawan dan kanak-kanak dapat bersaing dengan sihat. Contohnya, situasi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak bermain ting-ting (aksi hop) bersama-sama dan saling memberi sokongan antara satu sama lain. Di sini, sifat toleransi bersama rakan-rakan mula menyerlah dan juga sifat kepimpinan kerana mereka sudah dilantik oleh rakan-rakan mereka untuk menjadi ketua. Selain itu juga, mereka dapat bertanding secara sihat dan tidak kisah samada menang dan kalah. Seterusnya ialah, kanak-kanak dapat meningkatkan lagi perkembangan sosial mereka dengan berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru ketika melakukan aktiviti fizikal. Contohnya, kanak-kanak mengikuti arahan yang diberikan oleh guru dan seterusnya membantu rakan-rakan lain dalam melakukan aktiviti berlari, melompat dan lain-lain secara bersama-sama. Di samping itu juga, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat menamkan sifat keberanian dalam diri masing-masing. Ini adalah kerana, kanak-kanak berani bersoal jawab dengan guru jika terdapat apa-apa kemusykilan dalam melakukan aktiviti. Pada tahap ini, sifat ingin tahu dalam jiwa kanak-kanak mula menebal dan mereka akan berusaha mencuba pelbagai aktiviti lokomotor seperti berlari dengan membawa bola ping-pong dalam sudu, dan aktiviti bukan lokomotor seperti melambung bola dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment