Thursday, March 25, 2010

2.0) Motor kasar

Kemahiran motor kasar bermaksud satu kawalan pada tingkahlaku badan yang memerlukan banyak tenaga dari otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya. Perkembangan kemahiran motor kasar banyak bergantung pada perkembangan otak kerana ianya memerlukan keseimbangan badan dan juga kemahiran mata tangan kanak-kanak. Jika kanak-kanak mengalami masalah penglihatan atau pendengaran, mereka akan sukar mengimbangkan badan. Antara contoh kemahiran motor kasar ialah berlari, melompat, berjalan, dan sebagainya. Tetapi, sedari awal bayi, mereka mula menunjukkan kemahiran-kemahiran asas motor kasar seperti mengangkat kepala, memusingkan badan, merangkak, dan lain-lain.

Perkembangan fizikal kanak-kanak pada umur 3 hingga 6 tahun berada pada tahap sederhana di mana ianya dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu keturunan, pemakanan, pendapatan keluarga, dan kumpulan etnik. Contohnya, jika ibu bapa kanak-kanak mengalami obesiti, maka kanak-kanak tersebut juga mengalami keadaan yang sama dan mereka mungkin amat sukar melakukan aktiviti fizikal di sebabkan tubuh badan mereka yang besar. Selain itu juga, ibu bapa perlu menjaga pemakanan seimbang bagi kanak-kanak agar meraka dapat bergiat cergas dalam melakukan aktiviti. Pendapatan keluarga juga turut mempengaruhi dimana ibu bapa yang berpendapatan besar dan prihatin akan perkembangan kanak-kanak mampu menyediakan makanan berkhasiat dan peralatan fizikal bagi kanak-kanak. Akhir sekali, bagi kumpulan etnik, contohnya masyarkat Cina yang gemar melakukan senaman Tai Chi mampu menarik minat anak-anak mereka untuk melakukan aktiviti kecerdasan tersebut.
Gerakan motor kasar kanak-kanak dapat ditingkatkan dengan memberi ruang kepada kanak-kanak untuk melakukan pelbagai aktiviti. Aktiviti yang dirancang perlu dilakukan dalam kedudukan yang berbeza seperti arah depan, belakang, kiri, dan kanan. Contohnya, kanak-kanak berlari ke depan, belakang, kiri, dan kanan. Guru perlu menjadi lebih kreatif dalm memperbanyakkan variasi dalam pergerakan kanak-kanak. Ini perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak merasa bosan dan ini akan menyeronokkan lagi kanak-kanak untuk melakukan aktiviti. Di dalam gerakan motor kasar, terdapat 2 kemahiran iaitu kemahiran lokomotor dan bukan lokomotor.

No comments:

Post a Comment