Thursday, March 25, 2010

1.0) Pengenalan

Bidang pengajaran pergerakan manusia yang berfokus kepada perubahan dari segi keupayaan kawalan pergerakan dan prestasi motor yang berlaku sepanjang hayat. Perubahan yang berlaku adalah hasil proses menjadi yang di alami oleh sistem biologi seperti proses perkembangan tumbesaran, kematangan, dan penuaan. Ia dapat dilihat menerusi dua aspek iaitu peningkatan keupayaan dari bayi hingga dewasa dan penurunan keupayaan dari dewasa hingga tua. Aspek keupayaan dari bayi hingga dewasa dikenali sebagai tahap bagi golongan muda di mana mereka mempunyai banyak tenaga dan sentiasa bergiat cergas untuk melakukan pelbagai aktiviti. Aspek kedua ialah penurunan keupayaan dari dewasa hingga tua. Pada tahap ini, peningkatan umur berlaku dan mereka melalui proses penuaan. Ianya memberi kesan kepada perkembangan mereka. Contohnya, untuk perkembangan fizikal, golongan ini tidak lagi bergiat cergas dan mungkin tidak berupaya melakukan sesetengah aktiviti.
Kanak-kanak secara semula jadinya suka melakukan pergerakan. Mereka secara fitrahnya ingin belajar dan mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi. Apabila kanak-kanak melibatkan diri dengan aktiviti fizikal, mereka akan melakukan dengan sepenuh hati dan mereka juga akan bergerak dengan menggunakan seluruh anggota badan mereka. Menurut Wall dan Murray (1994) dalam Zainun Ishak (2006), pergerakan merupakan suatu daya yang wajib dilakukan bagi seseorang individu. Justeru, amatlah penting agar kanak-kanak didedahkan untuk mempelajari pergerakan dan juga bergerak untuk mempelajari sesuatu. Contohnya, kanak-kanak yang belajar berjalan akan menggunakan pergerakan untuk meneroka persekitaran mereka. Sebelum mengajar aktiviti fizikal, terlebih dahulu guru hendaklah mempunyai minat dan menguasai kemahiran tentang sesuatu aktiviti yang mereka ajarkan. Guru juga hendaklah bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu pengajaran dan pembelajaran aktiviti fizikal tersebut kerana kemahiran yang akan dipelajari oleh kanak-kanak akan menjadi asas yang kukuh dalam perkembangan pergerakan mereka.
Pengajaran aktiviti fizikal awal kanak-kanak amat menyeronokan untuk dipelajari oleh kanak-kanak dan guru. Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran berlaku dimana guru dan murid berinteraksi dalam suasana yang riang dan bergembira. Menurut Wall (1981) dalam Zainun Ishak (2006), suatu penemuan tentang apa yang dapat dilakukan oleh tubuh badan dan memperoleh kemahiran adalah pengalaman yang menguntungkan. Selain itu, kemahiran tersebut boleh disesuaikan dengan peralatan yang dijadikan sebagai halangan atau rintangan dan juga daya cipta tarian yang dapat dilakukan secara berpasangan.
Pergerakan asas terdiri daripada tiga jenis iaitu pergerakan lokomotor, bukan lokomotor dan juga pergerakan manipulatif. Ketiga-tiga pergerakan ini melibatkan kemahiran motor kasar. Lantaran itu, guru dan juga ibubapa perlu membantu kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran tersebut secara berkesan. Ini kerana tubuh badan merupakan alat yang penting dalam melakukan pergerakan.

No comments:

Post a Comment